Pernah lihat bagaimana seekor hamster berlari dalam gegelung sangkar besi tetapi masih berada di titik yang sama? Cuba kita renungi perjalanan hidup kita dengan denai hamster yang berlari itu. Apakah kita masih terbelenggu di posisi yang sama, tidak kira berapa kuat pun kita berusaha? KITA MASIH DI TEMPAT YANG SAMA! Ironinya, kita rela terbelenggu dengan paradigma ini walau jauh di sudut hati, kita merintih pilu mengenang untung nasib diri yang masih di takuk lama. Kita tahu dan sedar; “... ALLAH tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang dikurniakan-NYA kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Al-Anfal:53) Di sinilah titik mula kita perlu berhijrah. Merubah paradigma menjadi insan yang lebih hebat daripada semalam dan keluar daripada kepompong kehidupan yang biasa. Percayalah, hijrah itu indah walau tidak mudah! Segala cabaran, lelah, kepayahan, jerih-perih dalam meniti ‘marathon’ hijrah akan pasti dibalas oleh-NYA dengan keindahan seceria warna pelangi. Hijrahlah… kerana setiap daripada kita berhak untuk menikmati kehidupan yang lebih baik daripada semalam.