Inspektor Sabirin menyiasat kejadian orang hilang di sebuah banglo peninggalan Inggeris, House Of Ophelia. Di banglo itu, dia menemui penjaga rumah yang misteri bernama Damien Tan. Damien tinggal di banglo itu bersama waris bernama Wendy Lim dan pembantu rumah, Mei Lan. Penyiasatan membawa kepada penemuan jurnal peninggalan mendiang Profesor Derrick Lim, pemilik asal rumah itu. Juga tentang hukuman kejam pada Zaman Dinasti Ming iaitu Ling Chi yang mana pesalah dihukum dengan dilapah secara hidup-hidup. Takdir menemukan Inspektor Sabirin dengan penulis novel, Elyas Khusairi, remaja celaru, Fiona dan banduan terlepas, Din Elvis. Berjayakah mereka membongkar misteri di sebalik kejadian seram dan ngeri di House Of Ophelia? “Aku sepatutnya mati masa letupan tu, Sham. Aku tak sepatutnya hidup untuk lalui semua ini. Setiap hari, aku rasa sangat bersalah seolah-olah ia hukuman mati untuk aku. Cuma aku belum tergamak cabut nyawa aku sendiri.” ~ INSPEKTOR SABIRIN “Aku jelek melihat wajah aku sendiri. Aku bukan Fiona yang dulu. Aku perempuan jijik dan kotor. Lebih kotor daripada air longkang yang bernajis.” ~ FIONA “Ada bahagian kat rumah ni yang terlalu rahsia atas sebab-sebab yang tak dapat saya terangkan. Jangan ke mana-mana selain daripada tempat yang saya benarkan.” ~ DAMIEN