Mawar Hana – Gadis bermata Hazel berketurunan Irish yang memasang cita-cita untuk bergelar seorang doktor pakar. Namun sebuah tragedi hitam telah meragut pergi impian dan semangatnya untuk meneruskan kehidupan. Kekejaman dan ketidakadilan yang dilempar terhadap dirinya telah membuatkan Hana trauma terhadap kehidupan. Sukar untuk dia melupakan luka yang masih meninggalkan parut di dalam diri walau sudah bertahun masa berlalu.
Amar Taufiq – Dia pernah egois suatu masa dulu. Kerana itu selama tujuh tahun hidupnya ditemani kekesalan yang tidak pernah berpenghujung. Kemaafan adalah satu ‘permata’ yang dia tidak bisa beli dengan wang ringgit. Beribu-ribu kali dia cuba lari daripada mimpi ngeri yang membelenggu dirinya namun seringkali itu juga dia gagal kerana dia sedar dirinya adalah pendosa.
“Saya benci awak...terlalu benci. Saya sumpah hidup awak tidak akan bahagia. Nama Amar Taufiq akan menjadi manusia yang paling saya benci selama saya masih bernyawa. Awak dengar sini baik-baik, suatu hari nanti awak akan datang melutut dan cium kaki saya ini untuk memohon keampunan. Masa tu awak akan sedar ego yang selama ini awak pertahankan akan menjadi racun yang merosakkan jiwa dan diri awak.” - Hana.
“Saya melutut di hadapan awak, merayu agar awak mengampunkan segala dosa-dosa saya di atas kekejaman saya terhadap awak. Saya minta maaf di atas segala kesalahan yang telah saya lakukan terhadap awak, Hana.” - Amar.
“Kemaafan adalah benda terakhir yang akan saya berikan kepada awak ketika di akhir hayat saya kelak.” - Hana.
Adakah penantian Amar selama bertahun-tahun akan menjadi sia-sia? Dapatkah Hana memaafkannya dan menerimanya semula?