Ini cerita dunia sihir... dunia syaitan... dunia yang berakar dari Babil masih menebal di nusantara ini. Dunia yang menuntut pengamalnya menyekutukan ALLAH SWT dan melaksanakan ritual yang menjijikkan. Syaitan diseru demi memenuhi nafsu rakus. Habshah, wanita yang disihir selepas tewasnya tipu daya. Dia disihir oleh seseorang yang tidak disangka-sangka. Salim hadir, cuba merawat Habshah. Namun, dia tewas di tangan orang yang menyihir Habshah. Ilmu hitam lawannya itu terlalu tinggi. Salim sempat diselamatkan oleh Ustaz Yahya dengan izin ALLAH SWT. Karim hanya menjadi pemerhati pertempuran ilmu batin antara Salim, Ustaz Yahya dan orang yang menyihir Habshah. Dia mendapat jalan keluar daripada keadaan runcing itu. Jalan yang diyakini boleh membuatkan dia mengecapi kemewahan. Jalan yang membuatkan dia akan dikenang sampai bila-bila. Namun, adakah jalan yang dipilihnya itu tepat? Azlan, anak muda yang hadir untuk menyambung kembali silaturahim keluarganya menerima tentangan yang amat dahsyat. Mampukah dia menghadapinya? “Ia sembunyi dalam terang dan menjelma dalam gelap.”