Antara alam realiti dan fantasi, Amri menjadi keliru. Keliru kerana mimpi misteri yang dialaminya dan keliru dengan kehadiran perempuan yang berambut panjang, berwajah pucat, tiada bola mata hitam dan di pergelangan tangannya terdapat lelehan darah yang pekat pada setiap malam.
Sejak membeli tilam terpakai di sebuah kedai perabot, Amri sering bermimpikan Amran, Ariana, Encik Firdaus dan Puan Rohaya. Tanpa diduga mimpi demi mimpi yang dialaminya itu telah mengungkapkan satu cerita percintaan antara Amran dan Ariana. Percintaan yang ikhlas yang lahir daripada hati dua insan ini mendapat tentangan daripada Puan Rohaya.
Setiap kali ingin melelapkan mata atau terjaga daripada lena, Amri diganggu oleh lembaga perempuan yang amat menakutkan. Amri menjadi separuh gila dengan kehadiran lembaga yang tidak diundang yang sering muncul dari dalam tilam. Dihalau ia tetap datang. Yang menghairankan mengapa dia yang sering diganggu, mengapa tidak isterinya. Jadi, apakah sebenarnya yang telah berlaku kepada Amri? Apakah kaitannya antara mimpi dengan kehadiran lembaga perempuan itu?
Mimpi misteri yang mengendong perjalanan percintaan Amran dengan Ariana telah membuka ruang kepada Amri untuk mengetahui rahsia di sebalik tilam yang mengalas tubuh Amri dan isterinya pada setiap malam.
Siapa sebenarnya lembaga perempuan yang menakutkan itu? Mengapa Amri yang menjadi mangsanya? RAHSIA MIMPI yang penuh saspens dan mendebarkan akan membongkar segala-galanya. .