Anak-anak burung Merpati meluahkan rasa sunyi, takut dan bimbang. Lalu, ibu Merpati bercerita kisah moyang mereka yang berbakti kepada Nabi.
Kisah bermula apabila ada pakatan jahat puak Quraisy mahu membunuh Nabi. Kemudian, Nabi bersama sahabat baiknya, Abu Bakar menuju ke Gua Tsur. Mereka berlindung di dalam gua yang kecil dan sempit itu.
Abu Bakar berasa sedih lalu menangis. Nabi menenangkan Abu Bakar dan menyatakan Allah akan membantu mereka.
Sementara itu, orang Quraisy mundar-mandir di hadapan gua itu tetapi tidak menjenguk ke dalam gua. Rupa-rupanya ada sarang labah-labah yang besar di pintu gua dan ada burung Merpati sedang bertelur dalam sarangnya.
Dengan kuasa Allah, burung Merpati tidak lari dan tidak mengeluarkan bunyi. Itulah kekuasaan Allah membantu hamba-hamba-Nya.