Takwa itu adalah satu aset yang amat penting untuk dunia dan juga akhirat.
Setiap daripada kemenangan, kejayaan dan juga keselamatan, ditentukan oleh takwa.
Jadi, takwa itu sangat mahal.
Kalaulah di dunia ini banyak perkara yang perlu kita cari, maka takwa itu adalah pencarian yang harus diutamakan.
Kerana Allah SWT berfirman:
“Hendaklah kamu menambah bekalan. Maka sesungguhnya, sebaik-baik bekalan itu adalah sifat takwa.” Surah Al-Baqarah ayat 197
Walaubagaimanapun, penting untuk kita tekankan bahawa ketakwaan itu adalah untuk semua orang dan bukannya ‘konsep khusus’ untuk orang-orang yang alim. Ia adalah salah!
Ketakwaan adalah sesuatu yang kita semua patut berusaha untuk mendapatkannya, bina dan suburkan dalam jiwa. Ia adalah untuk semua orang yang bergelar muslim.
Hanya kebaikan yang akan tumbuh daripada ketakwaan dan kebaikan ini akan membawa kita kepada cara hidup yang mulia dan produktif. Dan itulah ‘kejayaan sebenar’ bagi orang yang bertakwa.