Juzuk ini mengandungi tiga surah iaitu;
- Surah al-Naml ayat 56-93,
- Surah al-Qasas ayat 1-88
- Surah al-Ankabuut ayat 1-63
Surah An-Naml, yang bermaksud semut. Kerana nama semut ini ada disebut di dalam ayat 18 dan juga 19. Seekor semut mengatakan kepada rakan-rakannya sesama semut agar mereka segera bersembunyi ke dalam sarang-sarang mereka kerana tentera Nabi Sulaiman a.s akan lalu di tempat itu. Jangan sampai mereka hancur lumat dipijak oleh Nabi Sulaiman dan tenteranya nanti.
Surah al-Naml ini memberi fokus kepada keindahan kisah Nabi Sulaiman a.s dan dakwahnya kepada kaum Saba’.
Isi kandungan surah ini meliputi akidah dan juga tauhid. Iaitu beriman kepada Allah, beribadathsemata-mata kerana Allah, tidak menyekutukan Allah dengan benda-benda lain. Juga beriman kepada hari akhirat, hari kebangkitan manusia dan juga hari penghisaban.
Pengajaran utama yang dapat kita ambil dari kisah ini adalah pentingnya rasa syukur ketika kita diberikan kenikmatan Allah SWT. Ketika Nabi Sulaiman a.s diberikan keberkatan dan juga kemenangan, baginda selalu menjawabnya dengan rasa syukur.
Surah al-Qasas meneruskan misi surah al-Naml dalam memberikan khabar gembira kemenangan Islam di masa hadapan. Jika surah al-Naml memberi isyarat kemenangan Islam di seluruh dunia akan mengulang era pemerintahan Islam di bawah Nabi Sulaiman, maka surah ini membongkar bagaimana rahsia dan misterinya perancangan Allah SWT yang di luar kemampuan kita menjangkauinya iaitu musnahnya Firaun di tangan seorang bayi yang dibesarkannya sendiri.
Fokus utama surah ini: Kisah Nabi Musa a.s. Surah ini menunjukkan kepada kita ujian yang dilalui Nabi Musa a.s dan para pengikutnya sebelum mencapai kemenangan dengan pertolongan Allah
Kisah ini membuktikan akan kekuasaan dan ketetapan Allah SWT. Bagaimana Nabi Musa sebagai bayi yang tidak berdaya di dalam air dilindungi oleh Allah SWT. Fir’aun dengan segala kekayaan dan kekuasaannya, pada akhirnya juga ditenggelamkan oleh air. Ini menunjukkan kepada kita bahawa siapa pun yang Allah ingin lindungi, tidak ada yang boleh menyakitinya, dan Allah Maha Berkuasa atas segalanya.
Surah Al-Ankabut yang bermaksud labah-labah, kerana ia diambil perumpamaan dalam ayat 41 di mana Allah SWT mengumpamakan penyembah-penyembah berhala itu dengan labah-labah yang percaya kepada kekuatan rumahnya sebagai tempat ia berlindung dan tempat ia menjerat mangsanya. Padahal kalau dihembus angin atau ditimpa oleh suatu barang yang kecil saja, rumah itu akan terus hancur.
Surah ini juga dikenali sebagai Surah Ujian kerana didalamnya terdapat dua kisah Nabi yang menerima ujian yang lebih berat berbanding ujian terhadap Rasulullah SAW.
Ayat 2-4 Surah Al-'Ankabut memberitahu bahawa ujian itu pasti akan dirasai oleh setiap dari kita semua. Kisah pertama adalah ujian yang dihadapi oleh Nabi Nuh A.S. yang dihantar untuk bersama kaumnya selama 950 tahun (Ayat 14). Ini sangat banyak jumlahnya jika dibandingkan dengan 23 tahun Nabi Muhammad SAW diuji untuk menyempurnakan tugasan Baginda SAW.
Kisah kedua adalah ujian yang menimpa Nabi Ibrahim A.S. yang dibakar lalu diselamatkan oleh Alla SWT (Ayat 24).
Ayat 45 surah ini merupakan suruhan Allah SWT supaya kita membaca Al-Quran dan mendirikan solat. Dua perkara ini perlulah bergerak seiring kerana solat itu mencegah perkara yang keji dan mungkar. JIka kita menjaga solat kita, InsyaAllah ia akan menjaga diri kita dari perbuatan mungkar. Allahu a'lam.