AMIRA Fatiha tidak pernah impikan kebahagiaan yang tinggi melangit. Tapi, cukuplah sekadar dia tahu siapa dirinya sebenar. Duduk dengan insan yang dipanggil pak long dan mak long, pasti rasanya tidak sama duduk dengan keluarga sendiri.
Amira dirisik seorang pemuda kampung, Iskandar, yang dalam diam menyimpan perasaan kepadanya. Namun, mak longnya yang tidak mahu dia hidup bersama Iskandar, telah ‘menolak’ anaknya, Shariha, untuk dijodohkan dengan Iskandar. Amira pasrah.
Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Hati Amira diisi dengan sinar cinta daripada Fitri. Namun, tidak siapa menduga, harapan baru yang menjelma, sekali lagi terpasung apabila mak longnya memainkan peranan.
Masih mahu Shariha yang menjadi ganti. Saat hati membawa luka, Iskandar sekali lagi muncul dalam hidup Amira. Mampukah Amira menjalani pelbagai dugaan yang mengujinya? Masihkah ada ruang untuk Fitri di hati Amira? Masih utuhkah janji keramat lelaki itu yang suatu ketika dahulu terpateri di dinding hati Amira?
Atau, berjayakah Iskandar meruntuhkan tembok yang dibina Amira sekali gus ‘memegang’ sekeping hati milik Amira?