CINCIN PUAKA ZAMRUD (AIDA ADIA)>
Setelah kematian bapanya, Aryan sering didatangi mimpi pelik yang menggambarkan roh bapanya seolah-olah tidak tenteram di alam sana. Aryan mengesyaki peti kayu Jawa kuno warisan tinggalan nenek moyangnya disimpan oleh arwah bapanya itu pasti menyimpan suatu rahsia atau jawapan akan maksud mimpi-mimpinya itu. Namun, setelah berjaya membuka peti lama itu, bukan jawapan yang Aryan perolehi tetapi bala pula menimpa diri serta keluarganya. Sebentuk cincin zamrud yang disimpan di dalam peti lama itu rupanya berpuaka dan sepatutnya dimusnahkan oleh arwah bapanya, namun tidak sempat kerana arwah bapanya jatuh sakit dan meninggal dunia dalam keadaan tragis.
SAKTI CINCIN (NAIM TAMDJIS)
Salim Bach berasa panik apabila dirinya diekori seorang lelaki tua yang memakai cincin batu delima. Satu hari, dia cuba untuk melarikan diri daripada dirompak dan diselamatkan oleh lelaki tua yang mempunyai kekuatan luar biasa itu. Misteri lelaki tua itu terbongkar setelah Salim Bach memperkenalkan lelaki itu kepada bapanya, Malek Bach. Rupa-rupanya lelaki tua itu adalah datuknya yang ingin mewariskan cincin yang mampu membuka hijab dunia gelap. Setelah lelaki tua yang atau dikenali sebagai Tok Aki itu pulang, sesuatu telah berlaku apabila vampira mengganas memburu mangsanya. Akibatnya, makhluk dari dunia gelap memburu Tok Aki dan keluarga Salim Bach. Terselamatkah mereka daripada diburu oleh Warewolf, Frankestein, Casper dan Freddy The Night?
KHADAM (AKMA SAIDON)
Mimpi-mimpi aneh yang diterima Wanda setelah tiga bulan meninggalkan Kampung Serindit Emas sering kali mengganggu tidurnya. Semenjak dia didatangi mimpi-mimpi tersebut, hidupnya dirasakan tidak tenteram. Dia sering kali merasakan ada sesuatu yang sentiasa mengekorinya. Pertemuan antara Wanda dan Seirra merungkaikan segala-galanya. Mampukan Wanda melepaskan diri daripada gangguan mimpi-mimpi aneh itu? Mampukah Seirra membantu Wanda daripada terus diganggu? Tanpa sedar, ada dendam yang bersimpul di hati. Ada mata-mata ghaib yang sentiasa memerhati!