Bermula dengan pencarian teman sehati sejiwa, sepuluh jejaka melepasi temuduga dan terpilih menjadi calon dalam ‘pencarian soulmate’. Berlatarbelakangkan istana Castlebury di Scotland, Emily mencari keserasian di antara salah seorang peserta. Tidak mudah bagi Emily yang percaya bahawa cinta tidak akan datang dengan memaksa perasaan sendiri, namun apabila ada kasih tersemat di kalbu, peristiwa misteri mula melanda perjalanan mencari cinta sejati. Ditambah dengan ketaksuban Emily pada sejarah cinta dua darjat di Castlebury yang pernah dikambus masa, merumitkan keadaan. Waktu kian berlalu, Emily hampir melunaskan impian ibunya dengan berusaha sehabis baik tanpa menyedari bahawa ada mata yang memerhati. Ada hati yang terseksa. Ada fikiran yang kotor. Ada rahsia di antara rahsia. Jemala Emily Arkisya menepu dengan kebenaran dan pembohongan. Dengan tindakan Adila, sahabat terbaik baginya mencurah kepahitan buat Emily. Ditambah lagi dengan pengkhianatan yang dilakukan oleh calon-calon suami bagaikan menembak mati hati selebriti ini. Permusuhan di antara mereka memporak-perandakan fikiran Emily Arkhisya sehingga di satu tahap wanita ini semakin keliru. Campur tangan Umi Kalsom, wartawan hiburan memutar fakta sehingga saat kebenaran terbongkar. Kerana rasa kasihnya kepada orang tua, kerana murninya persahabatan, kepercayaan yang tiada berbelah bagi, kesetiaan tiada taranya, kejujuran tanpa prasangka, kebaikan yang tiada tandingan, hati wanita ini dibunuh perlahan-lahan. Misteri Castlebury, diari Bridget Khursheed, Lady Kiara, Christian Slater, sepuluh calon suami dan keluarga Emily, padat menerjah kotak fikiran. Semua rahsia akan terungkap di kota lama Castlebury. Namun, Emily adalah buruan sebenar! Muncul pertanyaan apabila hati meragui segalanya. Adakah Emily berjaya menyelesaikan semua persoalan yang bermain di fikiran? Apa yang nyata, Castlebury menjadi saksi percintaan, persahabatan, pergolakan jiwa, pengkhianatan, pengorbanan dan kemusnahan hidup seorang wanita.