Bukan semua hero perlu pakai kostum adiwira, boleh terbang tinggi ke langit, lari laju mengalahkan kilat, atau tembak laser dari tangan sambil pakai sut berapi-api yang power kemain.
Itu semua dalam movie. Ya, dalam movie, di mana manusia boleh berimaginasi apa sahaja, cipta apa sahaja karakter yang tak mungkin wujud di alam nyata.
Dalam dunia realiti, superhero sebenar selalunya tak didendang. Contohnya spesies ‘superdaddy’, yang boleh dikatakan dah nak hampir pupus pun zaman ni.
Contohnya aku. Ehem.
Aku sandang ‘title’ ni sebaik saja isteri kesayangan aku kembali ke alam sana, dan takkan kembali lagi. Aku akur dan reda dengan ketentuan itu.
Perginya beliau meninggalkan 3 hero yang menguji kelelakian dan naluri kebapakan aku ya ampun. Dan di sinilah diari aku sebagai superdaddy bermula.
Bila tiada isteri di sisi, kerja-kerja rumah yang dulunya kami buat bersama, kini tinggal aku yang perlu buat semuanya.
Memasak? Hmm ini kacang.
Kemas rumah? Buat sambil tutup mata sebelah pun takda hal.
Urus anak? Serahkan kepada yang pakar. Akulah tu.
Laundry? Nauzubillah, yang ini aku lemah.
Tapi lepas dia tak ada, aku tapau semua kerja rumah. Dan dari hari ke hari, aku semakin champion.
Aku tak ada talian hayat untuk bertarung macam Iron Man ada Jarvis.
Aku tak boleh bertukar jadi hijau walaupun aku penat ya amat, kerana 3 hero aku mengharapkan aku menjadi pelindung mereka setelah mummy yang mereka sayang sudah pergi dan tidak akan kembali.
Aku tak ada ‘cape’ macam Superman untuk aku terbang pergi jauh-jauh walau jiwa aku serabut dengan urusan yang tak pernah habis.
Aku tak ada semua itu.
Yang aku ada hanya semangat.
Untuk buat aku terus jadi kekal kuat bila aku lihat 3 pasang mata yang masih mengharapkan aku sebagai tempat berpaut.
Demi amanah ini, aku akan terus gagah.
Kau doakanlah.