Humairah ibarat ‘bunga suci’ menjadi kegilaan lelaki di kampungnya. Kulitnya putih dan pipinya sentiasa merah bak delima! Khairil, jurutera dari keluarga berjaya akhirnya menjadi tunangan Humairah. Tetapi, Humairah memutuskan pertunangan itu kerana cintanya terhadap Jimi. Dia diusir keluarga dan membawa diri ke Kuala Lumpur. Sayangnya, Jimi menghilangkan diri. Bertahun-tahun dia menunggu, tapi lelaki itu tidak pernah ketemu. Akhirnya, dia menerima ijab kabul Norman. Malangnya, enam bulan kemudian, Humairah bergelar ‘janda pipi merah’. Humairah kemudiannya menjadi ‘permaisuri’ kepada Tengku Muzzafar, tetapi mahkota itu juga tidak bertahan lama. Dia kembali menjanda dan akhirnya bertemu dengan Datuk Rusdi yang memberikan Humairan kasih seorang suami yang tiada bandingannya. Sedang Humairah diulit bahagia dengan Datuk Rusdi, Jimi muncul semula dalam hidupnya. Lelaki itu mahu menyambung semula cinta mereka yang tidak pernah padam itu... Hati Humairah berada di persimpangan.