Manusia yang berusaha, jika dia bertawakal, dengan izin Tuhan dia akan berjaya. Paling utama ialah bersabar dan belajar menerima semua perkara seadanya. Sesungguhnya, rezeki datang dalam banyak cara, banyak bentuk dan banyak keadaan. Ada kala terlebih dan sesekali mungkin terkurang. Demikian juga saya, dan buku ini berkongsi sebahagian memoir turun naik kehidupan saya – ketika pernah selesa duduk di belakang sambil kenderaan dipandu orang lain, juga ketika orang lain selesa duduk di belakang sambil saya yang memandu kenderaan, CEO vs pemandu GRAB. Indahnya, walaupun ia berbeza kedudukan, saya kekal sebagai manusia yang sama, walau mungkin berbeza pada cara orang menilai saya. Semoga perkongsian menerusi buku ini menjadi penguat semangat, bukti bahawa kita tidak boleh cepat rasa putus asa. Sedangkan jalan ke syurga pun ada macam-macam, ini pula hidup kita yang hanya sementara usianya. Ayuh bangkit!